Monday, February 9, 2009
Hilangnya 2...
22 Disember 2008
Petang itu,selepas solat Asar hujan turun dengan agak lebat walaupun tidak begitu lama.Saat itu,hatinya menjadi sayu.
'Ke mana hilangnya air mataku?'soalnya kepada hatinya.
'….'senyap daripada hatinya,tiada balasan.
Bunyi titisan hujan yang menimpa bumi sahaja yang mengisi suasana.
Tap…tap…tap…
Teringat dia,betapa semua makhluk di bumi dan langit dan apa yang ada di antara keduanya sentiasa memuji dan memuja Ilahi,sentiasa patuh akan perintah Ilahi.
'Ingatlah Aku,Aku akan mengingatimu,bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur kepadaKu' - 2: 152
Alangkah!Apakah yang tersirat dalam ayat ini?Terdapat 3 seruanNya kepada hambaNya;ingat akan Dia,syukur kepada Dia dan jangan kufur.Tiba-tiba,hati kecilnya terdetik.
'Andai aku tak ingat dan syukur kepadaNya,maknanya aku sedang membawa diriku ke arah kekufuran.'
Begitukah?Itukah yang ingin Dia sampaikan kepada insan-insan yang membaca kalimah-kalimah itu?Wallahu a'lam….Sesungguhnya jika Dia hendak memberi kita sesuatu ilmu,ilmu itu hanya sedikit daripada seluruh pengetahuanNya.Bukankah Dia yang memiliki segala ilmu @ pengetahuan?Pastinya detik hati insan itu tidak layak dijadikan sebuah fatwa.. ;)
Namun,jika Dia ingin memberi kefahaman kepada seseorang,dia akan memberinya kepada hati insan itu.Bukankah begitu?Ya,kerana akal tidak mampu menafsir hidayahNya sekuat hati menafsir panggilan Ilahi agar seseorang mendekatiNya.Akal terlalu dahagakan rasional dan logik.Sebaliknya,hati pasti dapat memahami kalam Ilahi kerana kalamNya sarat dengan seruan kasih sayang yang didahagai hati.
[ Hati = love=kasih sayang = kalam Ilahi ]
Tap..tap..tap…
Hujan semakin reda.Dia melihat ke luar.Basah sudah tanah,rumput-rumput dan bunga-bunga.Bunga-bunga itu kelihatan segar sekali,menari-nari bungaan tatkala dihembus angin yang sesekali bertiup.
'Hatiku pun ibarat tanah itu.Andai tidak dibasahi ingatan kepadaNya yang disertai tangisan kerana takut kepadaNya,maka akan terus keringlah tanah hatiku.Wahai hati,menangislah!'
Jika tanah yang tandus dihidupkanNya dengan menurunkan hujan ke atas tanah itu,hati yang kering juga perlu dibasahi dengan tangisan yang tulus ikhlas keranaNya.Semoga titisan air mata itu mampu menghidupkan kembali hati yang sedang ketandusan iman.Andai matamu tidak mampu menitiskan air matanya,janganlah dikau biarkan hatimu itu terus tandus.Basahkan ia dengan zikrullah dan istighfar.Mungkin dikau tidak akan menyaksikan matamu merembeskan air matanya namun hatimu akan kembali tersedar dan menangis tanpa kau sedari.Pujuklah….pujuklah mana-mana jua anggotamu untuk kembali mengingatiNya.Pasti ada yang akan menyambut pujukanmu kerana itulah fitrahnya,taat akan Rabbnya,ingat akan Rabbnya.
'Menitislah,wahai air mata...'pujuk hatinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment