Monday, February 9, 2009
Hilangnya...
21 Disember 2008
Teringat dia akan sebuah cerita.Bagaimana seorang lelaki yang telah dihisab pada hari akhirat dan akan dicampakkan ke dalam neraka kerana dosa yang dilakukannya dan timbangan amal kebaikannya tidak melebihi amal kejahatannya.Namun,pada ketika itu,terdengar suara kecil yang memohon kepada Tuhannya agar mengampuni dosa hambaNya itu.Rupanya itu suara helaian bulu mata yang pernah basah kerana tangisan takutkan Allah oleh pemuda itu.
'Ke mana hilangnya air mataku?Mengapa ia tidak semurah dulu?Apakah telah hilang rasa takutku kepadaNya?'
Hati itu tertanya-tanya.Mengapa payah sekali hati itu menangisi kesilapannya walaupun dia sedar dirinya telah banyak melakukan kesalahan?Adakah air mata itu hanya akan ditumpahkan bila menonton kisah cinta terhalang yang dilakonkan pelakon dari Asia Selatan?Masya ALLAH,semoga dijauhkan daripada perkara itu kerana ia seolah-olah telah menduakanNYA.Astaghfirullah hal a'zhim.
'Sehalus-halus kehinaan di sisi ALLAH adalah apabila tercabutnya rasa takut kepada ALLAH daripada jiwa.Ilmu yang ada gagal menambahkan rasa takut kepada ALLAH dan kurangnya kualiti ibadah adalah petanda hilangnya hidayah daripada ALLAH.'
Bukankah sepatutnya ungkapan ini menimbulkan rasa gentar di hati orang-orang beriman?Apakah hati itu sudah ketandusan iman?Mungkin dia sudah lama tidak membelai iman di jiwanya.Apakah dia masih mempunyai masa untuk menebus kembali ketandusan imannya?
Sudah pasti masa masih ada.Selagi nyawa masih di badan,selagi itu rahmat Ilahi masih melimpahi diri seorang manusia.Bukankah DIA Maha Pengampun?Namun,sampai bila harus begini?Asyik mengharap belas tanpa memanfaatkan setiap peluang yang diberi?
'Taking things for granted.'Itukah sikap yang harus terus bersemai dalam diri?Orang yang lebih baik dan lebih bijak ialah orang yang mampu menggunakan kesempatan sebaiknya.Di sini,perkataan 'guna' dan 'ambil' memberi perbezaan besar antara orang yang 'ambil kesempatan' dan 'guna kesempatan'.Guna kesempatan bererti seseorang memanfaatkan peluang yang ada untuk memperoleh kebaikan semaksimumnya buat dirinya sebaliknya orang yang mengambil kesempatan pula hanya menerima kesempatan yang diberi dan kesempatan itu mungkin tidak mendatangkan kebaikan buat dirinya.
Begitu juga sebagai hambaNya,kita sebaiknya menjadi manusia yang memanfaatkan peluang bertaubat yang diberi oleh ALLAH.Sewajarnya peluang yang diberi oleh ALLAH digunakan kita bukan saja dengan memohon keampunanNya bahkan dengan menambah amal dan menjaga agama ini sebaiknya agar ia tidak dicabuli sebagaimana kita pernah mencabulinya.
Hmm…. T T
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment